Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.
Alhamdullillah,
Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah yang berjaya mengadakan program ini sebagai satu program tahunan di sekolah ini demi kepentingan murid-murid, yang pasti Majlis Anugerah Cemerlang merupakan satu majlis khas untuk memberi penghargaan dan meraikan pelajar-pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik khususnya dan ko-kurikulum amnya.
Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar cemerlang sekolah ini.
Terima kasih juga atas kehadiran ibu bapa pada hari ini. Saya pasti pihak ibu bapa mahukan yang
terbaik untuk anak-anak mereka di sini dan sentiasa memantau serta memberi maklum balas
kapada kami bagi memastikan aspek-aspek pembangunan pelajar di sini dibangunkan secara
holistik.
Selain itu, ibu bapa pastinya mengharapkan agar pengetahuan sains dan teknologi,
kemahiran berfikir aras tinggi dan penguasaan Bahasa Inggeris, kepimpinan dan juga aspek-
aspek lain dibudayakan di S.K.B.T.K oleh warga pendidik sekolah ini. Keprihatinan seluruh ibu
bapa sangat saya hargai dan kami akan buat yang terbaik bagi menyediakan generasi yang
kompeten pada peringkat global.
Kecemerlangan dalam akademik semata-mata tanpa teras ikatan keluarga yang kukuh tidak
menjadikan seseorang menjadi modal insan yang mampu menjadi penyumbang kepada
pembangunan bangsa, agama dan negara.
Tuntutan hidup juga merupakan cabaran besar terpaksa dilalui oleh ibu bapa berikutan terpaksa
bekerja sehingga ada antara mereka terlepas pandang untuk membentuk ikatan kekeluargaan
yang kukuh berasaskan kasih sayang.
Berkomunikasi dengan anak-anak bukan sekadar bertanya sudah makan atau tidak. Ibu bapa
perlu perlu lebih berkomunikasi dengan anak-anak mereka. Makan malam bersama adalah
pekara yang baik untuk dilakukan bersama dalam keluarga kerana pada waktu itu boleh dijadikan
sebagai ‘mesyuarat keluarga’ kerana dapat berkomunikasi dengan anak-anak.
Begitu juga sekiranya berjanji dengan anak-anak sekiranya tidak dapat ditunaikan usahlah
melafazkan janji. Sebaliknya, kita masih boleh memberi ganjaran kepada anak-anak sekiranya
berjaya membuktikan sesuatu sebagai contoh lulus dalam peperiksaan.
Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah, apakah memadai
atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak sekolah semata-
mata. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan apabila
murid-murid balik ke rumah.
Kepada para pendidik pula, orang ramai terutama ibu bapa sentiasa mengukur pencapaian
kita berdasarkan standard kualiti yang kita janjikan. Kita jangan cepat berasa puas dengan pen-
capaian kita pada hari ini. Sebagai seorang pendidik, kita mesti sentiasa berusaha meningkatkan
kualiti perkhidmatan agar perkhidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan
yang lain.
Kita perlu menjadikan hubungan antara warga sekolah dan ibu bapa sebagai hubungan yang
berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara
satu sama lain, bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing.
Kepada murid-murid yang tidak menerima hadiah, janganlah kecewa tetapi ingatlah pesanan
ini.
Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, kita harus mempunyai sikap rajin berusaha
dan tidak mudah berputus asa. Mereka yang cemerlang ini biasanya rajin pada tiap-tiap hari dan
bukannya rajin menjelang peperiksaan semata-mata atau rajin mengikut musim. Semua murid
mestilah mencontohi mereka ini. Saya percaya jika murid-murid dapat mencontohi mereka yang
menerima anugerah pada hari ini, anda juga pasti akan berada di kerusi tersebut pada tahun akan
datang.
Saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak
sekolah kerana berjaya menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang tahun ini.
Madah diungkap santun bicara,
Salah dan silap tutur bicara,
Sekian.
NORAZMAN Bin AHMAD KALAM
YDP PIBG SK Bandar Tasik Kesuma
22 Nov 2014
Tahniah kpd semua terutama murid murid, pentadbiran sekolah serta Jawatankuasa PIBG yang senantiasa memberikan yang terbaik untuk sekolah.
ReplyDelete