Keratan akhbar Utusan Malaysia |
KUALA LUMPUR 16 Mei - Pelajar tingkatan empat Kolej Tunku Kurshiah, Siti Norsarah Suhaimi, 16, mengharumkan nama negara setelah memenangi pingat emas dalam pertandingan Pameran Kreativiti dan Inovasi Eropah di Romania minggu lalu.
Menurut Siti Norsarah, selain memenangi pertandingan itu, produk reka ciptanya melalui projek bertajuk ‘Aqueract’ turut menarik perhatian Akademi Rekacipta Korea yang menganugerahkannya dengan Anugerah Khas.
Katanya, pertandingan selama tiga hari bermula 10 Mei itu mempertandingkan kira-kira 500 projek reka cipta dari 30 buah negara.
“Kemenangan ini amat bermakna buat saya setelah sebelum ini hanya menduduki tempat kedua pada pertandingan Pesta Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa (ISEF) Intel peringkat kebangsaan tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Siti Norsarah, projek ‘Aqueract’ merupakan projek penggunaan hos paip pintar dan anti bakteria mesra alam untuk penggunaan di tandas terutama tandas awam.
“Seringkali kita melihat pengguna tandas awam membiarkan hos paip di atas lantai yang kotor namun melalui projek ini saya mencipta sejenis alat yang boleh mengeluar dan menyimpan hos berkenaan melalui sentuhan tangan pengguna.
“Alat itu juga akan menyembur cecair anti bakteria bagi memastikan hos paip sentiasa dalam keadaan bersih,” katanya.
Siti Norsarah berkata, projek berkenaan yang merupakan idea asalnya dimulakan pada April tahun lalu dengan kerjasama Pusat Lanjutan Mekatronik dan Robotik, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bagi memastikan prototaip produk tersebut menggunakan standard yang sewajarnya.
“Saya berterima kasih kepada Pengetua sekolah, Che Kamaliah Endud, guru-guru penasihat penyelidikan dan pembangunan, Uniten, rakan-rakan dan ibu bapa saya yang sering memberi sokongan kepada saya dalam projek ini,” katanya.
Menurut Siti Norsarah, dia kini merancang menambah baik produk reka ciptanya selain mendapatkan hak paten daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).-Utusan Malaysia
Keratan akhbar Kosmo! |
No comments:
Post a Comment