|
KERATAN Akhbar Utusan Malaysia hari ini... |
SEREMBAN
23 Mei - Idea inovatif seorang pelajar tingkatan empat, Kolej Tunku
Kurshiah (TKC) di sini yang mencipta hos air automatik untuk mengekalkan
kebersihan tandas mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul
dua anugerah antarabangsa.
Pelajar
tersebut, Siti Norsarah Suhaimi, 16, memenangi Anugerah Emas kategori
keseluruhan pertandingan dan Anugerah Khas daripada Pertubuhan Reka
Cipta Korea dalam Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi di Lasi, Romania
pada 9 hingga 14 Mei lalu.
Menurut
Siti Norsarah, idea menghasilkan ciptaan yang dinamakan 'Aqueract' itu
timbul hasil pemerhatiannya ke atas kebersihan hos air di tandas awam.
“Jika
kita perhatikan, hos air di tandas awam kebanyakannya kotor untuk
dipegang, maka dari situ lahirnya idea untuk saya menghasilkan hos air
automatik menggunakan teknologi pengesan haba.
“Menerusi
rekaan saya itu, pengguna hanya perlu mendekatkan tangan ke tempat
pengesan dan hos akan keluar, begitu juga untuk memasukkannya semula,”
katanya kepada pemberita selepas majlis bertemu Menteri Besar, Datuk
Seri Mohamad Hasan di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Menurut
Siti Norsarah, menerusi ciptaannya itu hos air akan sentiasa berada
dalam bekas di dinding selain fungsi penyemburan pembasmi kuman selepas
penggunaannya.
Katanya,
dia mengambil masa setahun untuk menyiapkan 'Aqueract' itu dan
dibangunkan dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Dia
yang bercita-cita menjadi seorang doktor gigi memberitahu, reka cipta
merupakan bidang yang sangat diminatinya dan pernah memenangi beberapa
anugerah termasuk pertandingan reka cipta peringkat negeri serta
kebangsaan tahun lepas.
Selain
Siti Norsarah, pelajar TKC lain yang terlibat dalam pertandingan reka
cipta sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa turut berkongsi
kejayaan dengan Mohamad pada pertemuan tersebut.
Mereka
termasuk Nur Fatin Nabila Mohd. Nadzri, 16, dan Nur Syafiqah Izzati
Padeli, 16, yang menghasilkan lapisan filem sebagai pelindung sinar
ultraviolet (UVB) menggunakan ekstrak daun pokok lidah jin yang
dicampurkan dengan polimer.
Kedua-dua
pelajar itu memenangi Anugerah Emas dalam Pameran Inovasi dan
Kejuruteraan Reka Cipta Antarabangsa (i-Envex) dan Malaysian
International Young Inventors Olympiad (MIYIO) yang berlangsung di
Universiti Malaysia Pahang (Unimap), baru-baru ini.
Sementara
itu, Azra Zulaikha Haris, 16, dan Iyliana Hiylda Fitri Haron, 16, pula
mendapat Anugerah Emas MIYIO dan Anugerah Khas daripada `Croatia Inova
Young Inventor’ menerusi projek penghasilan bahan ganti kayu menggunakan
minyak serai dan fiber. - Utusan Malaysia